Dato’ Seri Amirudin Shari dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bercakap pada sidang media berkaitan Program Suntikan Vaksin Covid-19 peringkat Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Nadma, APM bantu Selangor tingkat pendaftaran suntikan vaksin

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Persekutuan akan menyediakan kakitangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu Selangor meningkatkan pendaftaran pengambilan vaksin Covid-19.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata kumpulan berkenaan akan bergerak bersama jentera Kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke rumah penduduk serta membuka kaunter di kawasan tumpuan sebagai langkah mendidik masyarakat mengenai kepentingan vaksin.

“Selangor merupakan negeri tertinggi pemberian vaksin fasa ini untuk dos pertama. Dari segi pendaftaran juga mencatat bilangan tertinggi dengan nisbah 38.4 peratus berbanding sasaran peringkat kebangsaan 26.9 peratus.

“Maknanya rakyat negeri ini sedar kepentingan vaksin,” kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Dewan Annex di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sementara itu Khairy menjelaskan jemaah menteri turut mengarahkan program imunisasi terbabit diutamakan kepada Selangor memandangkan negeri ini merupakan pemacu ekonomi negara selain memiliki kawasan industri yang besar.

“Jadi kita akan jalin kerjasama dengan sektor perindustrian untuk laksanakan suntikan di kilang atau asrama pekerja. Menerusi pendekatan ini, mereka tidak perlu keluar ke kawasan orang ramai sekali gus mengundang risiko penularan jangkitan,” katanya.


Pengarang :