Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Produk kosmetik FS Turmeric dikesan mengandungi racun berjadual

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Produk kosmetik untuk merawat jeragat dan parut-parut jerawat, FS Turmeric Cream, dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri dan betamethasone 17-valerate, yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan notifikasi produk kosmetik tersebut dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

Kementerian Kesihatan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik FS Turmeric Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual. Foto Sumber: KKM

“Bahan itu juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. Sehubungan itu orang awam digesa mengelak pembelian dan penggunaan produk kosmetik itu,” katanya.

Beliau berkata produk yang mengandungi betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Ini kerana penggunaan produk yang mengandungi bahan itu tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti bahagian kulit yang disapu menjadi nipis, mudah mengalami iritasi dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memudaratkan.

Sehubungan itu, katanya penjual dan pengedar produk kosmetik ini diminta menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Mereka yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihat supaya menghentikan segera penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

– BERNAMA

 


Pengarang :