Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan bersasar di Subang Perdana, Kota Damansara hujung minggu ini

SHAH ALAM, 3 MAC: Program saringan secara percuma bagi mengawal penularan Covid-19 diteruskan di empat lagi lokasi pada hujung minggu ini.

Dato’ Menteri Besar berkata lokasi tumpuan meliputi Dewan Resak MBSA di Subang Perdana, Shah Alam dan Dewan Serbaguna MPSJ, Seri Kembangan pada 6 Mac.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program sama turut berlangsung serentak di Dewan Serbaguna Seksyen 2, Kota Damansara dan Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam pada 7 Mac.

“Ujian ini akan membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti kes dan mengasingkan mereka yang positif,” katanya mengulas perkembangan Covid-19 di Selangor melalui Facebook.

Melalui Twitter pada 20 Februari, Amirudin berkata program berkenaan akan diteruskan di kawasan berisiko yang jumlah kes positif berpotensi melonjak antaranya rumah penjagaan warga emas.

Beliau menjelaskan lokasi saringan ditentukan berdasarkan data dan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pusat kesihatan daerah.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 7, Seksyen 19, Seksyen 25 dan Seksyen 28, Shah Alam, Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya dan Dewan Serbaguna MPK, Klang, Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.


Pengarang :