Dato’ Seri Amirudin Shari meneliti dokumen dan diberi penerangan mengenai cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Masjid Ukay Perdana, Ampang ke pusat komersial berdekatan pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Selangor sedia salur dana bina jejantas di Ukay Perdana

AMPANG, 7 MAC: Kerajaaan Negeri sedia menyalurkan peruntukan bagi pembinaan jejantas menghubungkan Masjid Ukay Perdana ke Pusat Komersial Ukay Perdana di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan pemaju yang diberi tanggungjawab mengendalikan projek dijangka memanfaatkan hampir 30,000 masyarakat setempat.

“Kita turun padang ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa untuk melihat isu yang perlu diselesaikan segera seperti di Masjid Ukay Perdana, ia melibatkan (pembinaan) jejantas, jadi kita akan keluarkan dana untuk kemudahan itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke masjid berkenaan sempena Jelajah Kita Selangor di Parlimen Ampang hari ini.

Difahamkan, pembinaan jejantas itu bakal memudahkan jemaah untuk ke masjid tanpa melalui Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) atau membuat pusingan-U yang agak jauh.

Malah, ia turut menjadi mercu tanda dan tarikan pengunjung ke masjid berkenaan termasuk kawasan Ukay Perdana.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berharap Kementerian Pendidikan dapat membina sekolah baharu di kawasan berhampiran Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana di tapak disediakan Kerajaan Negeri kerana ia akan membantu lebih 20,000 keluarga yang terpaksa menghantar anak ke sekolah lebih jauh.


Pengarang :