EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim bercakap pada sidang media berkenaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor sokong ECRL dilaksana melalui jajaran selatan

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan yang melalui daerah Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat hingga ke Westport bagi pelaksanaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata keputusan itu berdasarkan faktor ekonomi, warisan dan alam sekitar serta menangani kebimbangan terhadap kawasan tadahan hujan Empangan Batu di Ulu Yam serta Permatang Kuarza Klang Gates di Gombak, iaitu sebuah permatang kuarza tulen terpanjang di dunia.

Beliau berkata sebelum ini Kerajaan Negeri diberi dua pilihan jajaran iaitu melibatkan kawasan utara Selangor melalui Gombak, Serendah dan Pelabuhan Klang, kemudiannya ditukar kepada selatan di laluan Hulu Langat, Putrajaya, Kuala Langat serta Pelabuhan Klang (Westport) namun baru-baru ini ditukar semula kepada utara dengan sedikit perubahan.

“Mesyuarat telah diadakan mengenai kegusaran melibatkan jajaran melalui kawasan tadahan hujan Gombak seterusnya memberi kesan langsung kepada Lembangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus air untuk Selangor dan Kuala Lumpur.

“Maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan menyokong pelaksanaan projek berasaskan jajaran selatan demi kepentingan rakyat dan negeri,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan keputusan itu juga berhubung pembangunan koridor selatan Selangor terutama di sekitar Pulau Indah dan Pelabuhan Klang yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi serta kesan langsung terhadap pembesaran Westport yang dijangka berkapasiti dua kali ganda menjelang 2030.

Katanya, Kerajaan Negeri sejak dari awal sudah bersedia jika ECRL dilaksana di jajaran selatan malah berusaha memastikan proses pengambilan tanah disegerakan kerana menyedari kepentingan projek berkenaan untuk negara.

“Kita mengalu-alukan sebarang projek kerajaan persekutuan, cuma yang menjadi kebimbangan dalam kes ini adalah jajaran. Oleh sebab itu, beberapa aspek perlu diteliti dan membuat pilihan terbaik bagi mengelak masalah apabila projek ini dijalankan,” katanya.

Berdasarkan penjajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak dan menuju ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), jajaran tersebut diubah supaya tidak melalui Bentong dan Gombak seperti dirancang pada awalnya bagi mengelak pembinaan terowong sepanjang 17.8 kilometer melalui Permatang Kuarza.

Sebaliknya, laluan tersebut menuju selatan melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor menerusi Hulu Langat seterusnya ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang (Westport).

ECRL dijangka siap pada 2026 dan perkembangan projek mencapai 20.37 peratus sehingga Januari lalu berbanding dengan jangkaan asal sebanyak 19.39 peratus.


Pengarang :