Sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak runtuh dan menghempap sebuah van yang dinaiki lima individu pada 3 Mac 2021. Foto: BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor utama aspek keselamatan di tapak binaan awam

SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan langkah keselamatan bagi kerja pembinaan di tempat awam.

EXCO infrastruktur berkata pihak menjalankan projek telah diminta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

“Walaupun siasatan dijalankan dan punca akan diketahui hakikatnya pengguna yang menjadi mangsa apabila berlaku sesuatu kemalangan.

“Kita ada SOP (tatacara operasi piawai) tetapi apabila berterusan sebagai manusia kita terleka dan terlupa untuk ‘check’ peralatan digunakan hingga berlaku kejadian seperti ini,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian berhubung insiden kren gantri runtuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) dan menganggap pekerja binaan tersebut bekerja tidak tentu masa kerana lebuh raya itu sudah lambat untuk disiapkan hingga berlaku kealpaan.

Mengulas lanjut, Izham berkata pihaknya sudah berbincang bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengambil langkah keselamatan.

Pagi semalam, lima buruh asing dan seorang warga tempatan dilaporkan terbabit dalam kejadian kren gantri runtuh di tapak Suke di Jalan Alam Damai, Kuala Lumpur.

Tiga warga asing itu meninggal dunia iaitu dua terjatuh dari ketinggian 40 meter dan seorang tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

Sementara pemandu kereta yang ditimpa gantri cedera pada leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.


Pengarang :