Petugas kesihatan menjalankan ujian makmal ke atas sampel calitan orang ramai menggunakan mesin analisis Standard F200 SD Biosensor ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selcare hubungi kilang, syarikat galakkan pekerja jalani Saringan Komuniti

SUBANG JAYA, 13 MAC: Selcare mengambil inisiatif menghubungi kilang atau syarikat berhampiran lokasi Saringan Komuniti percuma bagi menggalakkan lebih ramai individu menjalani ujian Covid-19.

Pengurus Klinik Selcare berkata langkah itu dijangka berkesan memandangkan terdapat kes positif wabak yang tidak bergejala.

“Kita akan lihat persekitaran lokasi. Jika ada kilang atau syarikat berhampiran, kita pergi atau hubungi mereka maklumkan program saringan ini.

Pengurus Operasi Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Kita juga bekerjasama dengan persatuan penduduk dan Jabatan Penerangan bagi memastikan usaha kekang pandemik ini berjaya,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika ditemui di lokasi saringan di Taman Batu Tiga dekat sini.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil peluang menghebahkan berkenaan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 dalam program ini.

“Ada juga yang kita bantu mereka terus mendaftar terutama golongan warga emas yang tidak tahu mengenai aplikasi,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Sepanjang awal Februari hingga minggu lalu, lebih 6,000 individu menyertai program percuma itu termasuk 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.


Pengarang :