DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Kali Ke-14 Tahun 2020 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan: Niat keluar Islam boleh tergelincir akidah

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dukacita terhadap segelintir umat Islam yang tidak berhati-hati dalam berkata-kata hingga menjejaskan akidah dan agama.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah apa jua iktikad (pernyataan dalam hati), percakapan atau perbuatan untuk keluar dari agama dikhuatiri boleh tergelincir akidah.

Baginda menegaskan asas kepercayaan umat Islam adalah mengakui keesaan Allah dengan mengucap kalimah syahadah dan berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid seumur hidup.

“Sehubungan itu, tindakan segelintir umat lslam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar agama apabila berhadapan masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka.

“Baginda sangat berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah anugerah dan nikmat dari Allah, maka hendaklah dijaga dengan baik dan penuh kesabaran termasuk dalam keadaan selesa (aman) atau kepayahan,” menurut kenyataan Setiausaha Sulit baginda, Dato’ Mohammad Munir Bani.

Sultan Sharafuddin bertitah perbuatan murtad adalah kesalahan serius dan sesiapa yang enggan bertaubat boleh dihukum mati berdasarkan pendapat kebanyakan ulama termasuk Imam Syafi’e.

Baginda turut menasihatkan umat Islam agar berpegang teguh kepada akidah dan tidak mudah terpesong, selain menegaskan tindakan pihak berkuasa adalah proses biasa berlandaskan undang-undang.

Baginda juga menitahkan pihak berkuasa agama negeri bertindak mengikut prinsip yang betul dengan menguatamakan dakwah, mencegah unsur yang boleh merosakkan dan meningkatkan kefahaman Islam.

“Kita sebagai umat lslam dan rakyat di negara ini khususnya Selangor seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi prosedur digariskan.

“Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang sebarang perkara berkaitan hal ehwal Islam yang bersifat umum atau peribadi,” titah baginda.

 


Pengarang :