AGENDANASIONAL

Tempoh perbaharui lesen memandu, LKM dilanjut 1 April hingga 31 Mei

PUTRAJAYA, 26 MAC: Pengecualian memperbaharui lesen memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi pemilik kenderaan persendirian dilanjutkan mulai 1 April hingga 31 Mei, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Namun para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (ecover note insurans) mereka kepada anggota penguatkuasa trafik sekiranya diminta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Wee berkata individu yang LM dan LKM mereka telah tamat tempoh antara 1 Februari sehingga 31 Mac 2021 hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.

“Jika LM atau LKM yang tamat tempoh bagi pengecualian pertama (1 Februari hingga 31 Mac 2021) hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari seperti yang dinyatakan, iaitu bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.

“Sekiranya gagal melakukannya, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan,” katanya.

Wee berkata individu yang tamat tempoh LM dan LKM antara 1 April sehingga 31 Mei 2021 pula hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai 2021.

Beliau berkata pengecualian itu dibuat bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam.

Wee bagaimanapun berkata pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional iaitu GDL dan PSV kerana perkhidmatan pembaharuan berkaitan mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

– BERNAMA


Pengarang :