Seorang kakitangan perubatan mengisi jarum suntik dengan dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Perubatan Tokyo, Jepun pada 17 Februari 2021. Foto REUTERS
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Selangor bantu rakyat daftar program vaksin

SHAH ALAM, 17 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor sentiasa bersedia membantu rakyat terutama golongan warga emas mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Wakil rakyat Kota Anggerik berkata usaha itu dibuat bagi memudahkan penduduk yang masih ramai tidak mendaftar dan memberi kesedaran mengenai pentingnya pengambilan vaksin dalam mencegah pandemik.

“Saya telah menghubungi persatuan penduduk, jawatankuasa serta pengurusan masjid untuk bersama membantu orang ramai menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Penting untuk kita semua memastikan ahli keluarga dan masyarakat sekeliling mendaftar untuk suntikan vaksin,” kata Najwan Halimi ketika dihubungi.

Manakala ADN Rawang turut mengambil inisiatif sama dan akan mulakan kempen kesedaran vaksin di kawasan pasar serta luar bandar dalam masa terdekat.

“Mengenai golongan antivaksin saya nasihatkan agar tidak percayakan berita palsu kerana perkara ini yang menjadi punca mereka tidak berani mengambilnya.

“Tidak terima imunisasi ini hanya akan menyebabkan diri sendiri dan orang sekeliling dalam keadaan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19,” jelas Chua Wei Kiat.

Baru-baru ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 1.4 juta individu tidak melengkapkan pendaftaran menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, mereka hanya mengisi nama dan nombor kad pengenalan untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin namun tidak menjawab soalan penilaian kesihatan serta melengkapkan alamat terkini masing-masing.


Pengarang :