Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming (dua, kanan) dan ADN Balakong, Wong Siew Ki (kiri) bersama penduduk menggesa pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menyediakan laluan keluar masuk yang selamat di Kondominium Puncak Banyan, Kuala Lumpur pada 2 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

300 penduduk hantar petisyen bantah pemaju SUKE tutup laluan ke kondo

CHERAS, 2 APRIL: Ahli parlimen Bangi mewakili penduduk menghantar petisyen kepada pihak berkaitan susulan penutupan laluan utama ke kondominium di Persiaran Alam Damai, di sini.

Dr Ong Kian Ming berkata petisyen penghuni Kondominium Puncak Banyan dihantar kepada pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Kementerian Kerja Raya dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan ADN Balakong, Wong Siew Ki mencuba laluan sementara yang digunakan penduduk Kondominium Puncak Banyan pada 2 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya mewakili lebih 300 penduduk mendesak pihak berkaitan meningkatkan aspek keselamatan di tapak pembinaan serta segera membuka laluan keluar masuk kenderaan.

“Keadaan ini menjejaskan kehidupan penduduk yang terpaksa meletak kenderaan di luar kawasan kondominium, kita khuatir akan membahayakan keselamatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas turun padang bersama Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki.

Pada 22 Mac, tiga pekerja warga asing maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera parah dalam insiden struktur kren terjatuh di tapak pembinaan Suke, Persiaran Alam Damai.

Susulan kejadian, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan projek Suke dihentikan sehingga persekitaran pembinaan disahkan selamat.

Pembinaan SUKE sepanjang 24.4 kilometer setakat ini mencapai 88.8 peratus siap dan dijadualkan siap pada akhir tahun ini.


Pengarang :