Urusan jual beli dilakukan secara pandu lalu di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Catut harga ayam: KPDNHEP keluar 40 notis kepada pemborong, penternak

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Susulan kenaikan mendadak harga ayam yang dikesan baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Operasi Antipencatutan 8.0 (Ops Catut 8.0) yang menyaksikan 24 notis dikeluarkan kepada pemborong disyaki mencatut.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sepanjang operasi selama dua hari hingga 16 April itu, pihaknya turut mengeluarkan 16 notis kepada penternak atas kesalahan sama.

“Analisis awal mendapati harga makanan ternakan yang terdiri daripada soya dan jagung yang kebanyakannya diimport dari Argentina dan Brazil, merekodkan kenaikan dan ini menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan dari peringkat ladang kepada pemborong, peruncit dan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPDNHEP juga melaksanakan Ops Pantau di seluruh negara bermula Selasa lepas, membabitkan bazar Ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah serta pasar raya, pasar mini dan kedai runcit dengan tumpuan terhadap peniaga ayam, daging dan ikan.

“Hingga 16 April, sebanyak 5,768 premis diperiksa dan 27 kes direkodkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurut Nanta, sejak 13 April lepas hingga kini, pihaknya menerima 15 aduan masing-masing berkaitan harga ayam dan ikan, dua mengenai sayur dan satu aduan tentang harga daging.

Mengenai dakwaan aplikasi PriceCatcher KPDNHEP memaparkan harga ikan, ayam dan daging lembu terlalu tinggi, Nanta berkata paparan yang tular itu hanya membabitkan harga tiga barang, iaitu ikan kembung, ayam dan daging di kawasan elit Bukit Bintang.

“Semakan mendapati ada premis lain di kawasan berdekatan yang menjual tiga barang berkenaan pada harga lebih murah daripada yang dinyatakan dalam hantaran Facebook tersebut.

“Paparan harga aplikasi PriceCatcher disusun mengikut premis dan lokasi serta harga dari terendah kepada tertinggi yang bertujuan memudahkan pengguna membandingkan harga ditawarkan semua premis berdekatan dengan lokasi pengguna,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :