Petugas kesihatan memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas untuk menjalani ujian makmal ketika program Saringan Komuniti Covid-19 Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Covid-19 Selangor catat 327 kes baharu, empat kematian

SHAH ALAM, 5 APRIL: Kes baharu positif Covid-19 di Selangor kekal tiga angka dengan catatan 327 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu sebanyak 224 kes berpunca daripada saringan kontak rapat.

“Manakala, 77 lagi dikesan daripada lain-lain saringan, 24 dari saringan kluster dan dua kes melibatkan jangkitan luar negara.

“Terdapat dua kluster baharu di negeri itu hari ini iaitu kluster Lorong Dua dan kluster Taman Komersial yang disebabkan jangkitan di tempat kerja,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Menurut beliau empat kematian berlaku di Selangor membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 64 hingga 86 tahun.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut memaklumkan sebanyak 420 kes pulih menjadikan keseluruhan sembuh seramai 115,656.

Keseluruhan kes di Selangor pula berjumlah 117,792 sejak pandemik menular dengan kes aktif 1,801.


Pengarang :