Sebahagian artis yang menjayakan program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor. Foto Gaya Travel Magazine
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Empat artis terkenal jaya sketsa IPR Aidilfitri

SHAH ALAM, 30 APRIL: Empat artis terkenal bakal menjayakan sketsa Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), sebahagian daripada program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor, yang akan dipancar pada malam hari raya kedua.

Mereka adalah Raja Azura, Salih Yaacob, Ropie Cecupak dan Duta Pelancongan Selangor Che Puan Juliana Evans.

Penolong Pengarah Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi (Upen) Ahmad Nazmi Razali berkata sketsa berkenaan ditayang berselang seli dengan persembahan nyanyian artis lain.

“Matlamat kita ialah, selain berhibur, program ini menjadi wadah kepada Kerajaan Negeri untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat berkenaan insentif dan usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Siti Nordiana antara artis yang menjayakan program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor. Foto Gaya Travel Magazine

“Oleh itu, artis tempatan ditonjolkan bagi menarik minat orang ramai untuk menonton program berkenaan,” katanya.

Rakaman antara 3 hingga 10 April dijalankan di beberapa lokasi di Sepang, Gombak dan Kuala Selangor. Program selama sejam itu akan disiar melalui SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Artis Siti Nordiana, Najwa Latif, Bunkface, Roy, Azmi Caliph Busker, Aisyah dan Ahmad Yassin yang memiliki suara mirip Allahyarham Datuk Ahmad Jais mengadakan persembahan dalam program itu.

Laungan takbir raya yang dipimpin Imam Masjid Negeri Abdul Karim Omar bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan barisan EXCO serta pegawai kanan kerajaan turut termuat dalam program tersebut.

Penerbit eksekutif Megaday Media Sdn Bhd Azhar Sulaiman bertanggungjawab menjayakan keseluruhan rakaman.


Pengarang :