Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan program Wanita Berdaya Selangor dan Ekspo HaSSel di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kaedah bersasar pastikan hanya yang layak dapat bantuan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Selangor melaksanakan bantuan bersasar bagi menggantikan pendekatan populis yang diamalkan pentadbiran terdahulu.

Dato’ Menteri Besar berkata dasar baharu memastikan hanya yang layak mendapat manfaat sekali gus mengelak ketirisan yang menguntungkan kelompok tertentu.

“Kita tidak mahu melaksanakan dasar yang memberi kegembiraan seketika kepada rakyat, sebab itu kita semak semula bantuan bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Contohnya sebelum ini kita beri bantuan perkahwinan, bunyi menarik tetapi apa guna beri jika kadar penceraian di Selangor tinggi, jadi kita hentikan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hybrid 2021 di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Amirudin menambah pihaknya kini menumpukan usaha membantu golongan sasar meningkatkan kemahiran diri seiring perkembangan global.

“Sekarang kita fokus apa golongan sasar mahu, jika minat berniaga kita bantu, kita juga laksana pelbagai program untuk meningkatkan kemahiran anak muda,” katanya.

IPR adalah inisiatif berbentuk kebajikan yang diperkenal pada 2008 dengan mewujudkan 42 program untuk manfaat penduduk sejak lahir hingga usia emas.

Pada Ogos 2019, Kerajaan Selangor mengumumkan penjajaran semula IPR membabitkan lapan skim.

Skim itu melibatkan Kasih Ibu Smart Selangor, Skim Peduli Sihat, Tabung Warisan Anak Selangor, Bekalan Air Percuma, Skim Mesra Usia Emas, Skim Kesihatan Wanita, Bantuan Sihat Selangor dan Skim Rumah Selangorku.


Pengarang :