Pengerusi Jawatankuasa Riqab Negeri Selangor, Tan Sri Dato’ Hashim Meon (kiri) menyampaikan cek cura kepada Ketua Bahagian Pemulihan Ar-Riqab Majlis Agama Islam Selangor, Muhammad Zulhusni Abdul Rashid (kanan) ketika Majlis khatam Quran dan Iftar Perdana Riqab 2021 dan penyampaian geran pemulihan riqab di Laman Kayangan, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais sumbang RM2.02 juta kepada 27 Rumah Pemulihan Al-Riqab

SHAH ALAM, 30 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang sebanyak RM2.02 juta kepada 27 Rumah Pemulihan Al-Riqab sekitar Selangor.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan menerusi Geran Sukuan Pertama tahun 2021 berkenaan untuk membantu kebajikan golongan asnaf riqab.

“Pemberian ini bagi membantu memulih, melindungi, merawat, mencegah dan mengawal golongan ini agar mereka dapat kembali ke pangkal jalan.

“Menerusi bantuan tersebut, golongan riqab ini mendapat manfaat wang zakat melalui program pemulihan yang dilaksanakan Mais bertujuan mendidik dan membimbing menjadi mukmin yang diredai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis khatam Quran dan Iftar Perdana Riqab 2021 dan penyampaian geran pemulihan riqab di Laman Kayangan, Seksyen 7 di sini, semalam.

Dr Ahmad Shahir berkata bantuan keperluan hidup seperti sewa rumah turut diberi supaya mereka boleh berhijrah ke tempat tinggal yang lebih baik dan mampu berdikari.

Beliau menjelaskan Mais juga menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada individu yang menjaga asnaf riqab serta menyalurkan bantuan modal perniagaan dan perubatan untuk meringankan beban.

“Kita berharap sumbangan ini dapat digunakan sebaiknya oleh pengusaha rumah pemulihan dalam menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan golongan asnaf ini diberi perlindungan sewajarnya,” katanya.

Pada majlis sama penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Riqab Mais, Tan Sri Hashim Meon.

Antara Rumah Pemulihan Al-Riqab yang menerima bantuan ialah Rumah Pemulihan Akhlak Insani, Rumah Solehah, Rumah Bela Insan dan Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt Rahmah.


Pengarang :