Dr Siti Mariah Mahmud. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO gesa percepat RUU berkaitan gangguan seks

SHAH ALAM, 30 APRIL: EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga menggesa kerajaan mempercepat pembentangan rang undang-undang (RUU) berkaitan gangguan seksual susulan isu gurauan rogol membabitkan seorang guru, baru-baru ini.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata beliau memandang serius isu berkenaan kerana ia berlaku di sekolah dan sepatutnya guru terbabit memberi pendidikan seksual yang betul.

Katanya, normalisasi jenaka lucah yang menjadikan sebahagian daripada masyarakat tidak sensitif dan memandang ringan isu itu perlu segera dihentikan.

“Saya ingin memuji keberanian pelajar tersebut yang tampil melaporkan kenyataan berbaur gangguan seksual di sekolah. Saya harap agar murid ini dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Saya menggesa kerajaan menilai tindakan guru tersebut berdasarkan Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata isu-isu berkaitan gangguan seksual kebelakangan ini menjadi faktor pendesak kepada RUU gangguan seksual.

“Saya percaya RUU ini perlu dibentang oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat di Parlimen dengan kadar segera.

“Banyak sektor penting dalam negara telah dibuka, maka Parlimen sebagai institusi tertinggi negara juga harus segera bersidang bagi menggubal undang-undang dan membahas isu-isu nasional,” katanya.

Jumaat lalu tular kejadian seorang pelajar perempuan memuat naik video menerusi aplikasi TikTok mengenai cara pengajaran guru lelaki yang dikatakan berbaur lucah ketika membincangkan topik kesedaran mengenai gangguan seksual. Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Selangor.


Pengarang :