Seorang kakitangan perubatan menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin, Serdang pada 4 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENSISELANGOR

Majoriti warga Shah Alam tidak sabar dapat vaksin (Video)

SHAH ALAM, 4 APRIL: Majoriti penduduk sekitar Shah Alam menyambut baik program suntikan vaksin bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti.

Dalam video selama dua minit yang dihasilkan Jabatan Penerangan Selangor, rata-rata tidak sabar mendapat vaksin yang akan dibekalkan secara percuma.

“Vaksin penting kerana boleh selamatkan kita daripada virus dan mengembalikan kehidupan seperti sedia kala,” kata salah seorang penduduk.

Kebanyakan warga daerah itu juga sudah mendaftar program imunisasi melalui aplikasi MySejahtera dan menunggu giliran pada bila-bila masa.

Pada akhir video, mereka turut memegang plakad tertera “Saya telah bersedia untuk divaksin” sambil memegang lengan kiri masing-masing.

Sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di lapangan terbang KLIA pada 21 Februari dari kilang di Belgium untuk diagih kepada setiap negeri.

Selain petugas hadapan, fasa pertama suntikan meliputi kumpulan berisiko tinggi, warga emas, kumpulan rentan, orang kelainan upaya dan dewasa 18 tahun ke atas.

Malaysia dijangka menerima 3.5 juta dos vaksin CanSino dari China secara berperingkat mulai bulan ini.


Pengarang :