Keadaan bumbung pangsapuri yang rosak akibat ribut di Pangsapuri PKNS Taman Keramat AU2, Hulu Kelang pada 29 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Penghuni Flat PKNS AU2 harap pembaikan bumbung siap menjelang raya

AMPANG JAYA, 30 APRIL: Penghuni Blok E Flat PKNS AU2 Taman Keramat yang terjejas akibat ribut berharap pembaikan kerosakan bumbung siap seperti dijadualkan.

Noorini Abdullah, 70, berkata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjamin semua keluarga terkesan sempat menduduki kediaman menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Makcik sebak ketika menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar, tidak sangka beliau segera datang melihat sendiri kerosakan yang berlaku.

Noorini Abdullah, 70

“Kesungguhan beliau (Amirudin) datang ke rumah memberi kelegaan kepada makcik dan suami yang uzur,” katanya

Bagi Aris Bay Haki, 36, dia sekeluarga tidur di ruang tamu sehingga siling rumah dibaiki.

“Bumbung flat pernah dibaiki dua tahun lepas, justeru saya berharap kontraktor menggunakan bahan berkualiti tinggi untuk mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau lokasi kejadian serta menganggar peruntukan antara RM50,000 hingga RM60,000 untuk membaiki kerosakan.

Beliau turut menyampaikan bantuan segera sejumlah RM1,000 serta barangan keperluan asas.

Kejadian ribut jam 1.45 tengah hari pada Rabu menyebabkan kerosakan teruk bahagian bumbung serta menjejaskan lima keluarga di tingkat empat Blok E Flat PKNS AU2 Taman Keramat.


Pengarang :