Foto Facebook
AGENDANASIONAL

Penipuan jual emas dalam talian meningkat sejak Januari

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Kes penipuan jualan barang kemas secara dalam talian menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 37 kes melibatkan kerugian berjumlah RM239,530 direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata kes penipuan barangan kemas itu dalam tempoh tersebut antara paling tinggi dicatatkan pihak polis sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata sepanjang 2019, sebanyak 21 kes dilapor membabitkan kerugian berjumlah RM148,444 dan jumlah kes itu meningkat pada tahun berikutnya (2020) dengan 44 kes melibatkan kerugian RM261,954.

“Seiring perkembangan teknologi dan komunikasi semasa telah mewujudkan peluang perniagaan secara dalam talian berikutan kemudahan akses tanpa had khususnya semasa negara berdepan wabak Covid-19.

“Justeru, ia menjadikan platform berkenaan sebagai pilihan pengguna namun pada masa sama mewujudkan kegiatan jenayah penipuan penjualan barangan tidak wujud,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zainuddin berkata pihaknya melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan usaha membanteras kegiatan itu dilakukan secara efektif.

“Namun dari aspek pencegahan, pembabitan masyarakat amat diperlukan dan orang ramai digesa berhati-hati dalam segala urusan pembelian barang kemas secara dalam talian.

“Orang awam diminta supaya tidak percaya dengan sebarang tawaran jualan barang kemas murah daripada harga pasaran semasa terutama apabila tawaran dibuat pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya,” katanya.

Beliau berkata mereka perlu membuat semakan ketulenan transaksi dan memastikan urusan pembelian dijalankan melalui perjanjian dan kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa.

Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat semakan pengesahan akaun dan talian telefon melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.

Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika mempunyai sebarang keraguan.

-BERNAMA


Pengarang :