PBTSELANGOR

Hadkan peserta pendengaran awam, MBSA ikut SOP ketat

SHAH ALAM, 9 APRIL: Sesi pendengaran awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dibuat mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat, mengambil kira beberapa aspek.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan menyebut kapasiti kehadiran diatur mengikut keluasan dewan selain peserta perlu mematuhi penjarakan fizikal.

“Sesi yang dijalankan mengikut SOP ketat membataskan jumlah individu yang dibenarkan masuk,” kata Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.

Kenyataan itu mengulas larangan wartawan membuat liputan pendengaran awam draf rancangan tempatan MBSA 2021-2035 di Dewan Bankuet pagi semalam.

MBSA menambah pendengaran itu dikhususkan untuk pihak berkepentingan seperti individu dan badan bukan kerajaan yang memberi maklum balas terhadap cadangan pembangunan.

Jelasnya, sebanyak 2,935 permohonan bantahan diterima dan pihak berkaitan diberi peluang untuk menjelaskan hujah mereka.

“Hasil rumusan dan maklum balas dari sesi ini akan dibentangkan di peringkat Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Selangor sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Semalam, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) membantah tindakan MBSA menghalang wartawan membuat liputan pendengaran awam.

Kedua-dua pertubuhan itu berkata melarang media membuat laporan menunjukkan MBSA tidak telus dalam penyataan maklumat yang menjadi kepentingan umum.


Pengarang :