AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.1350/1410 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Khamis selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) menunjukkan ekonomi negara maju itu akan terus bertambah baik.

Bagaimanapun, sentimen positif di pasaran bon tempatan telah menyokong ringgit justeru, unit tempatan diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding dengan mata wang utama lain semasa dagangan dibuka.

Pada 9.01 pagi, ringgit berada pada 4.1350/1410 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1330 ketika ditutup pada Rabu.

Pada Rabu, Fed mengeluarkan minit bagi mesyuarat yang diadakan pada Mac, dengan memaklumkan dasar yang akomodatif telah dilaksanakan.

Ringkasan mesyuarat itu menunjukkan walaupun para pegawai mendapati ekonomi sedang berkembang dengan ketara, mereka juga berpandangan kemajuan yang lebih banyak adalah diperlukan sebelum perubahan dasar yang lebih longgar ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata walaupun terdapat dorongan positif dalam pasaran bon tempatan namun ringgit mencari pemangkin baharu.

Beliau berkata di samping itu ringgit juga tidak menentu susulan pergerakan meluas dolar AS dalam negara-negara G-10 selain tekanan daripada harga minyak mentah.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0817/0873 daripada 3.0828/0857 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding yen kepada 3.7666/7731 daripada 3.7607/7645.

Unit tempatan turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6798/6885 daripada 5.7072/7122 dan stabil berbanding euro kepada 4.9058/9133 daripada 4.9077/9125.

– BERNAMA


Pengarang :