Juara Liga Keusahawanan OKU Selangor (SAY LEAD) Johan Abdul Rahim Muda, 33, (tengah) bergambar bersama naib juara Zaim Zazami Ibrahim, 35, (kiri) dan pemenang tempat ketiga Md Rizuan Rahim, 35, (kanan) di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada 6 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Sasar lahir jaguh usahawan, seni setanding global

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Selangor Youth Community (SAY) menyasar untuk menghasilkan jaguh berkualiti dalam pelbagai cabang setanding global menjelang 2027.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata usaha itu selaras visi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor untuk mencungkil bakat belia termasuk orang kelainan upaya (OKU).

Nurul Azwa Rodzi menjelaskan antara teras utama yang dikenal pasti meliputi keusahawanan, sukan, seni kreatif dan khidmat masyarakat.

“Kita membawa hasrat besar Tengku Amir Shah iaitu juara dunia yang mahu dilahirkan bukan diukur daripada kuantiti semata-mata sebaliknya menekankan aspek kualiti.

“Justeru, kita percaya “pocket rocketman” seterusnya adalah dari Selangor yang akan membanggakan Raja Muda dan negeri ini,” katanya ditemui pada pusingan akhir Liga Keusahawanan OKU (SAY LEAD) di sini semalam.

Tengku Amir Shah berkenan memilih tiga peserta terbaik pada pusingan akhir liga yang berlangsung sejak November tahun lalu membabitkan 20 peserta.

Selain diberi tunjuk ajar berhubung pengurusan perniagaan, peserta turut didedahkan pengurusan akaun dan strategi pemasaran serta kursus komunikasi.

Sementara itu, Azwa berkata organisasi terbabit bangga dengan pencapaian usahawan seni Muhammad Azizi Abdul Latif, yang memenangi anugerah Prince’s Trust dalam pameran secara maya tahun lalu.

“Ini penyertaan pertamanya dan jika kita boleh bawa masuk beliau ke lebih banyak acara, mungkin berpotensi untuk merangkul anugerah peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Muhammad Azizi, 31, yang mengalami kecacatan pada tangan kanan turut memenangi Liga Keusahawanan OKU Selangor pada tahun lalu.

 


Pengarang :