Perlawanan di antara Selangor FC menentang Melaka United FC di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 18 April 2021. Foto Facebook Selangor FC
AGENDAAGENSISELANGORSUKANKINI

Selangor kutip tiga mata aksi pertama Ramadan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kemenangan dramatik Selangor FC ke atas Melaka United selepas ketinggalan dalam saingan Liga Super Ahad lalu dianggap rezeki pada Ramadan.

Pengurus Selangor FC berkata beliau berpuas hati kerana ini adalah aksi pertama pada bulan puasa dan semua pasukan yang bertanding menghadapi kesukaran dalam membentuk pasukan selepas berbuka.

“Kita puji semangat tidak kenal penat untuk bangkit melakar kemenangan di tempat lawan yang sememangnya sukar termasuk pemain gantian yang berjaya mengubah permainan di saat-saat diperlukan.

“Kita harap momentum ini diteruskan kerana selepas ini bakal bertemu Sabah, PJ City, Pahang dan Terengganu yang bakal berlangsung pada Ramadan,” kata Mahfizul Rusydin Abdul Rashid ketika dihubungi Selangorkini berhubung kemenangan 3-2 itu.

Beliau dalam pada itu berkata pihaknya juga berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain yang menunjukkan peningkatan setiap perlawanan antaranya pemain import dari Jerman iaitu Manuel Konrad.

Pada pertemuan itu, Melaka United mendahului pelawanan menerusi sepakan penalti penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic pada masa tambahan babak pertama sebelum The Red Giants menyamakan kedudukan pada minit ke-enam babak kedua.

Skuad tuan rumah dibimbing Zainal Abidin Hassan sekali lagi mendahului melalui Ahmad Syamim Yahya (m-58) tetapi Selangor mengejar dan berjaya mendapat gol penyamaan hasil jaringan Olusegun Ifedayo (m-70) sebelum memastikan tiga mata penuh menerusi gol Muhammad Syahmi Safari (m-88).


Pengarang :