Seorang kakitangan perubatan menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin, Serdang pada 4 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Tiada kematian akibat vaksin, henti sebar maklumat tidak tepat

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kematian disebabkan pengambilan vaksin Covid-19 setakat ini.

Sehubungan itu, KKM meminta orang ramai tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak pasti sumber serta kebenarannya kerana menimbulkan kegusaran.

“Orang ramai diminta merujuk maklumat sah di semua platform rasmi media sosial KKM atau berhubung terus dengan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setiap negeri.

“Maklumat sahih berkenaan vaksin Covid-19 juga boleh didapati menerusi laman sesawang http://covid-19.moh.gov.my/ atau di talian 03-88810200/ 03-88810600/ 03-88810700,” kata Bahagian Regulatori Farmasi Negara menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Menurutnya, KKM turut mengambil maklum isu tular di media sosial berhubung kematian beberapa kakitangan KKM selepas disuntik vaksin.

“Perkara ini sedang disiasat dan akan dimaklumkan kepada umum selepas siasatan selesai,” katanya.

Bermula 24 Februari lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama berjalan dengan menyasar suntikan terhadap kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan hingga April.

Fasa kedua menggunakan Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadual bermula bulan ini hingga Ogos membabitkan kira-kira 9.4 juta warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pada Mei hingga Februari tahun depan pula meliputi 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.


Pengarang :