Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

50 laluan Bas Smart Selangor kekal ketika PKP

SHAH ALAM, 19 MEI: Kesemua 50 laluan Bas Smart Selangor kekal seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata orang ramai masih menggunakan perkhidmatan bas tersebut walaupun negeri ini dikenakan perintah berkenaan.

“Kita menyediakan 50 laluan bas percuma dengan 172 bas termasuk PJ City Bus dan SA09 yang baharu dilancarkan baru-baru ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang menaiki bas mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung.

Selain itu, Sze Han menggalakkan penumpang memuat turun aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) untuk menggunakan sistem ‘Scan To Ride’.

Sistem itu diperkenalkan sejajar dalam menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai selaras menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2025.

Kerajaan melaksanakan PKP seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Semalam, Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor jika usaha sedia ada gagal mengekang penularan wabak.


Pengarang :