Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 20 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

5,000 individu daftar, mahu sertai saringan percuma esok

PUCHONG, 22 MEI: Program Saringan Komuniti Covid-19 di Subang Jaya esok menerima 5,000 pendaftaran setakat jam 12 tengah hari, tertinggi sejak inisiatif itu dilaksanakan.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir berkata setiap individu diberikan slot janji temu bagi mengelak kesesakan pusat saringan bertempat di Laman Sukan USJ 1.

“Orang ramai digalak mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah) bagi memastikan proses saringan berjalan lancar.

“Kita menjangka bilangan pendaftaran terus meningkat menjelang esok termasuk mereka yang datang terus ke pusat saringan tanpa mendaftar,” katanya di pusat saringan Dewan Masyarakat Bandar Kinrara 2, hari ini.

Beliau berkata saringan percuma turut dijalankan di Dewan Komuniti MBPJ, Jalan PJS 6/1 Kampung Lindungan esok serta menerima 2,000 pendaftaran setakat ini.

“Kita menggalakkan golongan muda menjalani saringan susulan peningkatan kes positif melibatkan umur 20 hingga 40 tahun.

“Kumpulan umur ini merupakan ‘pembawa senyap’ virus kerana tidak menunjukkan gejala tetapi dikesan positif menerusi ujian saringan,” katanya.

Saringan percuma di Laman Sukan USJ 1 dan Dewan Komuniti MBPJ bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.


Pengarang :