AGENDANASIONAL

Bantuan khas RM500 kepada pemandu kenderaan awam

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan menyediakan bantuan khas sekali bayar kepada pemandu kenderaan awam yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka yang menerima manfaat tersebut ialah pemandu pelancong, bas sekolah, e-panggilan, teksi dan bas persiaran.

“Kerajaan bersetuju memberi bantuan khas sekali bayar RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-panggilan.

“Bantuan ini yang berjumlah RM68 juta akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada Julai,” katanya pada perutusan khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) malam ini.

Muhyiddin menambah sebagai tanda sokongan kepada program tersebut, menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji mereka selama 3 bulan mulai Jun.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya.


Pengarang :