Selangorkini
Dr Gunarajah R George bersama tenaga pengajar dan murid yang terpilih mengikuti Program Sinar Ilmu Harapan Sentosa di pusat khidmatnya pada 1 Mei 2021. Foto ihsan Dr Gunarajah R George
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kelas percuma bimbing 25 murid lemah pembelajaran kuasai 3M

SHAH ALAM, 3 MEI: Seramai 25 murid yang mempunyai masalah pembelajaran sekitar Sentosa, Klang dipilih mengikuti kelas bimbingan percuma selama tiga bulan.

Wakil rakyatnya Dr Gunarajah R George berkata semua pelajar program Sinar Ilmu Harapan Sentosa akan dibimbing oleh guru terlatih dari Persatuan Dyslexia Selangor.

“Kelmarin kita adakan pertemuan bersama ibu bapa bagi menyatakan komitmen mereka selama tiga bulan akan datang.

“Semoga segala urusan dipermudah dan anak-anak ini dapat mempertingkatkan kemahiran 3M mereka iaitu membaca, menulis dan mengira,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pengarah program berkenaan Dr R Uma Rani berkata murid yang terpilih dalam lingkungan usia antara sembilan sehingga 13 tahun.

“Kita akan bahagikan mereka mengikut tahap kemahiran membaca dengan lima pelajar dibimbing oleh seorang guru pada setiap Sabtu selama tiga bulan.

“Kita jangka kelas bermula selepas Aidilfitri, bergantung situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya yang juga salah seorang tenaga pengajar.

Pada 18 April, lebih 100 pelajar hadir ke Pusat Khidmat DUN Sentosa untuk menjalani saringan bagi mengikuti program berkenaan.

Inisiatif yang diuar-uarkan secara meluas melalui media sosial sejak 8 April turut mendapat sambutan dari mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.


Pengarang :