Orang ramai menunggu giliran bagi membuat ujian calitan Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Seri Siantan, Gombak pada 20 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 4,000 individu daftar, mahu sertai saringan percuma

GOMBAK, 20 MEI: Program Saringan Komuniti percuma yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dan Rawang hari ini menerima lebih 4,000 penyertaan.

Seramai 2,000 individu mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua di sini dan Dewan Batu 17, Rawang.

Jumlah tersebut tidak termasuk pendaftaran secara manual dan individu yang hadir secara terus di kedua-dua lokasi saringan terbabit.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan berkata masyarakat semakin peka dengan keperluan menjalani saringan mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 dalam negara.

Orang ramai mendaftar sebelum membuat ujian calitan Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Batu 17, Rawang pada 20 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini membuktikan kesedaran orang ramai yang bimbang dengan kadar jangkitan harian. Mereka risau apatah lagi semalam lebih 6,000 kes dicatatkan dengan Selangor masih lagi tertinggi.

“Angka tinggi direkodkan di negeri ini apabila Kerajaan Negeri memutuskan mengadakan saringan di seluruh 56 DUN. Justeru, usaha sebegini harus dipuji dan masyarakat seharusnya tidak melepaskan peluang kerana ia percuma,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau program saringan yang dikendalikan 15 petugas Klinik Selcare bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berkata individu yang tampil melakukan saringan terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan kaum dengan majoritinya mengambil kesempatan itu sebagai langkah keselamatan.

Orang ramai membuat pendaftaran bagi membuat ujian calitan Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Seri Siantan, Gombak pada 20 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita lihat sebelum ini mereka mungkin tidak sedar kepentingan saringan tetapi hari ini atas dasar kesedaran mereka datang berbuat demikian demi keselamatan dan kesihatan diri serta ahli keluarga,” katanya.

Beliau turut memaklumkan lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang selain dibantu polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memastikan orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.


Pengarang :