Selangorkini
Penduduk Palestin berkumpul di lokasi serangan udara Israel di Gaza pada 20 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENSI SELANGOR

Mais seru umat Islam laksana solat hajat, qunut nazilah untuk Palestin

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam agar melaksanakan solat hajat dan membaca doa qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya menzahirkan sokongan terhadap Kerajaan Malaysia yang akan menerajui bersama-sama Indonesia dan Brunei dalam mengeluarkan satu kenyataan untuk mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dalam mempertahankan Masjidil al-Aqsa sebagai tempat suci dan kiblat pertama umat lslam.

“Mais turut berharap supaya umat Islam di Malaysia, khususnya di Selangor untuk menyokong agenda pembebasan negara Palestin daripada kekejaman dan pencerobohan tentera Zionis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata bermula 2012, pihaknya bersama rakan strategik Mais iaitu Pertubuhan lslam Bukan Kerajaan (PIBK) yang berdaftar di bawah MAIS telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program bantuan serta sumbangan dana kepada umat lslam di dalam dan luar negara.

Pihak MAIS turut mengiktiraf pengalaman beberapa PIBK yang telah lebih awal melaksanakan program dan misi bantuan kepada masyarakat lslam di luar negara yang ditimpa musibah termasuk di Palestin.

“Antara 96 buah PIBK MAIS yang aktif memberikan sokongan kepada rakyat Palestin iaitu Angkatan Belia lslam Malaysia Cawangan Selangor, lslamic Relief Malaysia, MCG (Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia @ Muslim Care Global), Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Humanitarian Care Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Aman Palestin Berhad dan Muslim Care Malaysia Society dan HALUAN,” katanya.

Menurut Abdul Aziz pihaknya mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan PIBK MAIS serta orang ramai yang sentiasa menyokong dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

Pastinya segala usaha ini amatlah bermakna bagi rakyat Palestin, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :