Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memberi penerangan berhubung saringan Covid-19 kepada seorang peserta ketika turun padang meninjau program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Keputusan teruskan Saringan Komuniti dibincang Isnin ini

KLANG, 29 MEI: Keputusan meneruskan program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri akan dibincangkan selewat-lewatnya Isnin ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya harus bincang dengan MKN untuk melihat tatacara (program saringan). Kalau tiada halangan dan kekangan, kita dapat laksanakan.

“Bagaimanapun, program saringan di beberapa lokasi ditetapkan sebelum 1 Jun masih diteruskan,” katanya selepas meninjau Saringan Komuniti percuma di Dewan Serbaguna Teluk Pulai di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa hingga 14 Jun depan.

Menerusi pelaksanaan langkah itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN sejak 8 Mei hingga 10 Jun ini.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :