Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama keluarga di hari raya Aidilfitri di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANA

MB: Rai Aidilfitri sambil perangi Covid-19

Selamat hari raya Aidilfitri saya ucapkan kepada seluruh umat Islam, khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan. Jika perayaan Aidilfitri tahun lepas diikuti dengan ungkapan ‘norma baharu’ bagi memberi gambaran cara sambutan yang tidak pernah kita lalui, Hari Raya Aidilfitri kali ini membawa perasaan ‘dejavu’, bagaikan kita mengulangi perkara sama seperti tahun yang lalu.

Walaupun kita dapat mengamati Ramadan yang lepas dengan sedikit berbeza dengan tahun lalu, iaitu mengunjungi bazar Ramadan untuk persediaan membuka puasa, namun
kita juga melihat setiap tindakan kita mempunyai dampak ke atas masyarakat.

Dalam semangat Kita Jaga Kita, kita telah membuktikan tahun lalu bahawa umat Islam dapat meraikan Aidilfitri dengan sederhana, tanpa mengunjungi bazar Ramadan, mengamalkan tradisi balik kampung atau berkumpul di rumah saudara-mara serta rakan.

Walaupun amat mencabar, kita berjaya menampilkan kebertanggungjawaban demi memastikan kesihatan diri dan keluarga tersayang dijaga, sekali gus mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Pada waktu itu, kita berjaya mendapat kebahagiaan dan menikmati detik-detik perayaan dengan keluarga tersayang di rumah sendiri. Kita juga berjaya adaptasi kepada norma baharu dan menghubungi keluarga di kampung halaman melalui panggilan video WhatsApp ataupun Zoom.

Pada masa sama, saya melihat hari raya Aidilfitri yang lalu disambut dengan tidak bermegah-megah berbelanja memperagakan kain pelikat, jubah terkini ataupun telekung elit yang pasti mahal, sehingga membawa kepada sifat riak berlebihan sekali gus menyebabkan pembaziran.

Paling tidak, kita mempunyai kesempatan menyantuni jiran tetangga yang dekat dengan berkongsi makanan dengan mereka atas kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ada.

Jangan alpa Kali ini pula, saya melihat kelompok besar masyarakat kembali kepada kebiasaan lama yang berasaskan ciriciri yang saya katakan tadi; perbuatan banding-membanding di antara kita, seakan-akan mengejar gemerlap perhiasaan dan kebendaan, sekali gus hampir meninggalkan semangat kekeluargaan dan kejiranan yang
dikukuhkan pada Aidilfitri yang lepas.

Saya tertanya mengapa ini berlaku. Adakah ianya disebabkan keresahan Covid-19 yang menyebabkan ‘ticking time bomb’ dalam kehidupan kita? Ataupun tindakan masyarakat adalah sebagai balasan kepada tindak-tanduk pemimpin dan orang kenamaan yang kelihatan tidak tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP), sedangkan rakyat biasa disaman sehingga berpuluh ribu ringgit? Ditambah pula dengan ketidaktentuan
hala tuju negara dari segi politik mahupun ekonomi, situasi ini bagaikan ‘the perfect
storm’ yang menyebabkan rakyat bertambah resah, marah dan hilang
keyakinan kepada pembuat dasar dan undang-undang yang dilihat tidak adil
serta saksama.

Itulah bahayanya pemerintahan yang kurang stabil dan gagal membina kepercayaan rakyat sehingga tanda pagar seperti #KerajaanGagal tular di media sosial.

Perkara-perkara sebegini tidak harus diabaikan oleh mana-mana pemimpin, sama ada di peringkat negara mahupun akar umbi. Ini adalah buah keresahan yang sudah terpacak sejak lebih setahun lalu dan masih belum kelihatan jalan kesudahnya.

Itu yang mendorong Kerajaan Negeri untuk sentiasa memfokuskan segala usahakan menangani dampak kesihatan dan ekonomi yang disebabkan pandemik Covid-19.

Sejak PKP mula diisytiharkan oleh Perdana Menteri pada Mac 2020, Kerajaan
Negeri yang dipimpin Pakatan Harapan serta disokong seluruh penjawat awam menggunakan teknologi dan kaedahkaedah inovatif supaya wabak ini dapat ditangani.

Pertama, Selangor Task Force Covid-19 yang diterajui mantan Menteri Kesihatan
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta pakarpakar lain termasuk Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang kini menjadi ahli Majlis Sains, Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Aplikasi pengesanan kontak pertama di negara, Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menjadi pilihan pengguna dan membuka pintu kepada aplikasiaplikasi
lain yang menyusul.

Tambahan pula, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai juga. Kerajaan Negeri juga melaksanakan saringan bersasar yang menangani aspek ekonomi dan sosial.

Apabila kluster penularan wabak Covid-19 dikesan di tempat kerja seperti kilang dan pejabat, Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) diperkenalkan untuk mengesan dan mencegah penularan wabak ini.

Saringan bersasar Kemudian, saringan komuniti secara bersasar telah dilakukan meliputi 33 lokaliti dalam enam daerah, termasuk 42 rumah penjagaan warga emas. Sehingga kini, lebih 19,349 individu telah disaring dan fasa baharu saringan ini telah bermula pada 8hb Mei sehingga 10hb Jun di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri di seluruh Selangor.

Inisiatif-inisiatif ini ditampilkan atas dasar kebertanggungjawaban terhadap kesihatan awam, terutamanya golongan berisiko tinggi, serta kestabilan ekonomi dan politik supaya kita dapat mencapai situasi menang-menang dan menguatkan kontrak sosial dengan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14.

Antara fulkrum dasar-dasar ini adalah nilai fitrah kemanusiaan demi membina masyarakat yang cekal untuk menghadapi pelbagai cabaran. Kerana kita tahu bahawa
kemenangan ke atas Covid-19 bukanlah larian pecutan 100 meter tetapi marathon
yang akan menguji kemampuan dan ketabahan setiap daripada kita.

Namun, saya melihat virus ini juga sebagai wadah terbaik untuk kita mengenal semula erti sebenar kehidupan, nilai-nilai yang diterapkan oleh ibu bapa kita sejak usia muda lagi.

Dengan fitrah kemanusiaan itu dan semangat #KitaSelangor, kita mesti menang dengan Perang Covid-19.

Selamat Hari Raya. Selamat kembali kepada Fitrah.

Minal Aidil Wal Faizin.
Maaf zahir dan batin


Pengarang :