Petugas kesihatan menunjukkan botol vaksin AstraZeneca di pusat pemberian vaksin di Kuala Lumpur pada 5 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Negeri zon merah diutamakan dapat vaksin AstraZeneca

SHAH ALAM, 5 MEI: Negeri zon merah diberi keutamaan untuk menerima vaksin AstraZeneca secara sukarela, kata menteri penyelaras Covid-19.

Khairy Jamaluddin menjelaskan pihaknya sedang meneliti negeri lain untuk menerima vaksin tersebut selepas Kuala Lumpur dan Selangor, lapor Berita Harian.

“Kerajaan akan menerima lebih banyak lagi penghantaran vaksin AstraZeneca pada bulan ini iaitu melebihi satu juta dos.

“Saya merancang untuk membuka pusat pemberian vaksin (PPV) AstraZeneca secara sukarela di negeri lain, dengan tumpuan diberikan pada negeri zon merah,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Program suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada sukarelawan yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor dimulakan hari ini di empat PPV.

Pusat tersebut meliputi Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.

 


Pengarang :