Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna MPAJ, AU2, Hulu Kelang pada 18 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pakar: Langkah tepat Selangor banyakkan saringan Covid-19

SHAH ALAM, 20 MEI: Tindakan Kerajaan Selangor mengadakan saringan besar-besaran merupakan landasan tepat bagi mengesan penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia berkata sekiranya langkah itu tidak dilakukan, lebih ramai individu akan dijangkiti wabak memandangkan terdapat banyak kes tidak bergejala.

“Bayangkan jika ramai yang datang ke saringan didapati positif namun tidak bersimptom.

“Kita tidak sedar mereka dijangkiti dan boleh merebak kepada lebih ramai lagi” kata Prof Dr Zamberi Sekawi seperti dilaporkan The Star hari ini.

Sejak 8 Mei lalu hingga 10 Jun ini, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Setakat 11 Mei lalu seramai 8,585 individu disaring melibatkan DUN Kajang, Semenyih, Sungai Ramal, Balakong, Teratai dan Dusun Tua, Lembah Jaya dan Pandan Indah.

Daripada jumlah tersebut, 388 kes Covid-19 dikesan dengan hampir keseluruhan melibatkan pesakit tanpa gejala.


Pengarang :