Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) dan Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kiri) bergambar bersama penerima biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Peserta cemerlang Akademi Kepimpinan Wanita ditaja lanjut pengajian

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Selangor menawarkan biasiswa Pembelajaran Sepanjang Hayat berjumlah RM200,000 kepada 12 peserta Akademi Kepimpinan Wanita (AKW).

Dato’ Menteri Besar berkata tajaan menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi melanjutkan pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kesemua pelajar ini antara 100 peserta AKW yang cemerlang pada tahun lepas dan kini berpeluang mengikuti pengajian diploma, ijazah dan sarjana,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara WBS dan OUM di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

WBS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Siti Kamariah Ahmad Subki, sementara OUM diwakili Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mansor Fadzil. Hadir sama, EXCO Pembangunan Wanita, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU Biasiswa antara Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Terbuka Malaysia di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata biasiswa itu mencapai misi Dasar Wanita Selangor untuk memperkasa golongan tersebut selaku badan pemikir, pembinaan kapasiti dan pemberdayaan.

“Kerjasama antara OUM dan WBS diharap memperkasa wanita di Selangor dengan ilmu pengetahuan selain mempercepat penyertaan golongan ini sebagai pembuat keputusan.

“Tajaan biasiswa ini juga dapat memartabatkan wanita untuk lebih berdaya saing serta menguasai pelbagai bidang ilmu termasuk perniagaan, pengurusan, sains gunaan, pendidikan dan sains sosial serta kursus pendek ditawarkan OUM,” katanya.

AKW Selangor ditubuhkan bagi menggilap bakat 100 peserta berusia antara 21 hingga 50 tahun untuk mendalami lapangan politik dan kerja sosial di peringkat negeri.

Sebanyak RM500,000 diperuntuk tahun lalu bagi melatih peserta berkenaan sekali gus memohon biasiswa Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan kerjasama OUM.

Berikut empat kumpulan yang layak mendapat tajaan tersebut:

  • Wanita Selangor yang mempunyai pendidikan sekolah menengah, berkerjaya tetapi diberhentikan kerja dan ingin meningkatkan tahap pendidikan
  • Wanita Selangor yang mempunyai pendidikan sekolah menengah, berkerjaya dan ingin meningkatkan tahap pendidikan dan kerjaya
  • Wanita Selangor yang mempunyai pendidikan tinggi, berkerjaya dan ingin meningkatkan tahap pendidikan dan kerjaya
  • Wanita Selangor yang terpilih menyertai program anjuran WBS yang ingin meningkatkan tahap pendidikan bagi menjadi perwakilan politik

Pengarang :