Dato’ Seri Anwar Ibrahim (kiri) menyantuni warga emas yang juga penerima vaksin Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Subang Jaya pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Segerakan perolehan vaksin, rakyat sedia terima – Anwar

PETALING, 28 MEI: Kesediaan rakyat untuk menerima vaksin Covid-19 sangat tinggi namun ketika ini jumlah bahan berkaitan tidak mencukupi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang berkata permasalahan itu dikenal pasti selepas beliau bertemu orang ramai ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, berdasarkan maklumat petugas dan orang awam ramai dalam kalangan mereka sudah mendaftar tetapi belum dipanggil, turut hadir dengan harapan dapat menerima vaksin dengan kadar segera.

“Jadi bagi saya permasalahan pokok dalam negara ialah menyegerakan perolehan vaksin dan memastikan pengendaliannya teratur serta lebih meluas.

“Kita dapat saksikan pusat di bandar memang lancar kerana kehadiran itu lebih cepat dan segera,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Petaling di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson berkata situasi berbeza di kawasan luar bandar apabila masyarakat kurang memberi sambutan dan jentera kerajaan perlu digerak sepenuhnya bagi tujuan pendaftaran.

“Kita tidak boleh terima alasan orang tidak mendaftar. Masa pilihan raya semua jentera boleh kenal pasti dan kemudian mengajak, merayu rakyat keluar mengundi.

“Alasan orang lambat daftar, orang enggan itu adalah remeh yang menunjukkan tidak cukup kesediaan dan komitmen pemerintah,” katanya.

Beliau juga berharap jumlah vaksin dapat dibawa masuk dengan kuantiti yang banyak, selain tempat pemberian turut diperluas seperti di Klinik Kesihatan bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin.


Pengarang :