Salah sebuah keluarga yang terjejas dengan pelaksanaan PKP menerima bantuan makanan daripada MBPJ melalui PJ City Food Bank. Foto ihsan MBPJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

650 keluarga miskin di PJ dapat bantuan makanan sepanjang PKP

SHAH ALAM, 22 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengagihkan bantuan makanan kepada 650 keluarga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan menyebut sumbangan bernilai RM100 melalui program PJ City Food Bank turut diberikan kepada 21 rumah kebajikan sekitar Petaling Jaya.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan mendalam terutama kepada golongan berpendapatan rendah berikutan ramai yang terputus sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP.

“Program ini menyasar keluarga miskin bandar dengan pendapatan isi rumah bawah RM1,500 sebulan dan keutamaan kepada yang mempunyai ramai tanggungan serta orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Kenyataan itu menyebut bantuan tunai dan keperluan asas turut diagihkan kepada 82 kakitangan MBPJ yang dijangkiti Covid-19 serta yang sedang menjalani perintah kuarantin.

Selain itu, Unit Komunikasi Korporatnya berkata pihak berkuasa tempatan tersebut meraikan pelajar B40 di lima sekolah angkat yang mendapat keputusan 5A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

“Selain memberi pengiktirafan, inisiatif ini mampu memberi galakan dan dorongan serta mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar untuk meningkatkan prestasi akademik,” kata MBPJ.


Pengarang :