Orang ramai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan banding vaksin, terima suntikan demi keselamatan

SHAH ALAM, 9 JUN: Masyarakat dinasihat tidak membandingkan jenis vaksin sama ada Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, kata Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menurut Dato’ Dr Khalid Ibrahim sebaliknya mereka perlu menerima suntikan dan melengkapkan kedua-dua dos bagi mencapai imuniti kelompok di samping menjaga keselamatan nyawa sendiri dan orang sekeliling daripada dijangkiti wabak.

“Vaksin mana sangat berkesan adalah vaksin yang kamu terima, saya minta anda semua tidak membandingkan jenisnya, yang penting adalah keselamatan nyawa,” katanya menerusi siaran langsung ‘Forum Covid-19: Vaksin Mana Yang Terbaik’ menerusi Facebook malam tadi.

Selain itu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata masyarakat tidak seharusnya menyebarkan berita palsu yang hanya akan menakutkan segelintir individu untuk menerima vaksin.

“Sebagai contoh, vaksin AstraZeneca sebelum ini ada kes mati di beberapa negara selepas menerima suntikan tersebut. Namun, hakikatnya sekarang apabila kerajaan buka secara sukarela ramai orang berebut untuk dapatkannya.

“Saya menyeru anda semua jangan mengemparkan sesuatu perkara sebaliknya terima apa sahaja vaksin diperoleh,” katanya.

Setakat 6 Jun lalu, seramai 238,474 petugas barisan hadapan serta 248,013 warga emas dan golongan berpenyakit di negeri ini telah menerima satu dos vaksin.


Pengarang :