Dr Fahmi Ngah pada pelancaran Inisiatif Infrastruktur Digital Pintar Smart Selangor di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan, Shah Alam pada 16 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kelajuan internet PBT, anak syarikat negeri dinaik taraf

SHAH ALAM, 19 JUN: Sambungan internet berkelajuan tinggi akan diperluas di 12 agensi Kerajaan Selangor tahun ini bagi menyokong hasrat mencapai Negeri Pintar menjelang 2025.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata agensi itu termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) serta anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Kami menerima maklum balas baik daripada pengguna sedia ada. Tahun ini SSDU bercadang menambah 12 entiti baharu melibatkan beberapa PBT dan PDT,” kata Dr Fahmi Ngah ketika dihubungi.

Beliau berkata rangkaian berkelajuan tiga Gigabit sesaat boleh mengupayakan proses penghantaran dan penerimaan data lebih tinggi berbanding kemudahan sama yang lain di pasaran.

“Aplikasi Smart Selangor seperti Smart Selangor Parking, Citizen E-Payment Platform, ‘Scan To Ride’, Selangor Intelligent Transport System dan Smart CCTV dapat berjalan lancar.

“Kemudahan ini menjimatkan masa orang ramai membuat pembayaran perkhidmatan Kerajaan Negeri dan mengurangkan keperluan berurusan secara fizikal di kaunter,” kata Dr Fahmi.

Selangor diiktiraf sebagai negeri pertama di negara ini menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi untuk sektor awam menerusi SeGNet.

Ketika ini jaringan itu digunakan di Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor, Pusat Operasi Smart Selangor C5i, Selangor Hybrid Data Centre dan Centre of Excellence di Wisma Ehsan.

 


Pengarang :