Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan secara pandu lalu kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Sukan Klang pada 1 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Majoriti kes baharu, kematian Covid-19 merupakan kes sporadik

SHAH ALAM, 6 JUN: Jumlah kes baharu dan kematian akibat sporadik Covid-19 kini membimbangkan apabila berlaku peningkatan ketara dalam tempoh 1 April [Minggu Epidemiologi (ME) ke-13] hingga semalam.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan jumlah kumulatif kes dilaporkan pada minggu tersebut iaitu sehingga 3 April adalah sebanyak 8,968 kes dengan 52 peratus daripadanya adalah kes sporadik.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada ME ke-22 iaitu sehingga semalam, jumlah kes dilaporkan adalah 52,040 dengan 84.3 peratus adalah sporadik.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata bagi kes kematian akibat Covid-19 pada ME ke-13 iaitu sehingga 3 April sebanyak 26 bagi kategori sama dikesan daripada 35 kematian.

Katanya, lebih membimbangkan angka itu melonjak tinggi dan sehingga semalam iaitu pada ME ke-22 sebanyak 641 kes telah dilaporkan dengan 559 kematian daripadanya adalah sporadik.

“Keadaan ini adalah amat membimbangkan kerana majoriti jangkitan baharu dan kematian Covid-19 adalah merupakan kes sporadik ketika ianya dilaporkan.

“Kes tersebut bermakna jangkitan yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada,” katanya.


Pengarang :