AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB gembira peniaga kecil catat jualan RM3,000 sehari dalam e-Bazar Raya

SHAH ALAM, 25 JUN: Dato’ Menteri Besar melahirkan rasa gembira dengan kejayaan peniaga kecil yang meraih jualan RM3,000 sehari melalui kempen Selangor e-Bazar Raya 2021.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang berkongsi kejayaan pengusaha Baiworld Kitchen, Mohd Ghazali Anuar menerusi Facebook berkata pihaknya berbangga dapat membantu golongan terbabit menjana pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika sidang media pengumuman keputusan kempen e-Bazar terkini, saya tertarik mendengar mengenai perniagaan sambal, peria dan pegaga goreng diusahakan Haji Ghazali bersama isteri tercintanya.

“Selain meningkatkan jualan, beliau membantu pekebun kecil di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam dengan membeli hasil sayur-sayuran mereka malah juga golongan asnaf dengan memberikan peluang pekerjaan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan dan Kerajaan Negeri berbesar hati melihat bagaimana kempen e-Bazar membantu perusahaan kecil dan sederhana menjana pendapatan ketika PKP,” katanya hari ini.

Kempen e-Bazar Raya Selangor pada 15 April lalu mencatatkan RM954 juta termasuk jualan terus bernilai RM65 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata kempen sehingga 29 Mei mengatasi sasaran asal RM700 juta, selain menarik 134,025 peniaga dengan 22,049 penyertaan baharu.

Kempen tersebut diselaraskan Invest Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melalui platform Shopee dan Lazada.


Pengarang :