Lori membawa 48 pekerja asing yang positif Covid-19 dikesan di Sungai Petani pada 13 Jun 2021. Foto Facebook Aduan Rakyat Kedah
AGENDANASIONAL

Pemandu lori bawa 48 pekerja positif Covid-19 disaman, majikan disiasat

SUNGAI PETANI, 14 JUN: Polis mengenakan saman serta-merta terhadap seorang pemandu lori selepas didapati membawa sekumpulan pekerja asing yang didapati positif Covid-19 secara terbuka di sekitar bandar ini seperti tular di media sosial petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira 5 petang, pihaknya segera bertindak dan berjaya mengesan serta menahan lori terbabit di Sungai Lalang, Bedong dekat sini.

“Lori itu dalam perjalanan pulang dari PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) Kuala Muda menuju ke asrama sebuah kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang.

“Hasil pemeriksaan, terdapat seramai 48 individu didapati positif Covid-19 berada di dalam lori tersebut dalam keadaan tangan memakai gelang kuarantin,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Video berdurasi 19 saat serta beberapa gambar lori yang padat dengan pekerja bergelang merah jambu itu tular di Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Adzli berkata sebelum video itu tular, kes positif Covid-19 telah dikesan di kilang pemprosesan ayam terbabit dan PKD Kuala Muda mengarahkan sejumlah 135 pekerja kilang yang positif hadir bagi tujuan siasatan serta memakai gelang kuarantin.

“Pihak majikan telah mengatur sebuah lori khusus untuk membawa kesemua 135 kes positif dengan tiga trip perjalanan ke PKD Kuala Muda… lori dinaiki 48 individu yang ditahan tadi ialah kumpulan dalam trip yang ketiga,” katanya.

Beliau berkata pihaknya bertindak mengenakan saman terhadap pemandu lori berusia 51 tahun itu mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan lain.

Selain itu, pihaknya membuka kertas siasatan terhadap pengurus (majikan) kilang tersebut yang berumur 43 tahun mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa.

“Majikan itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai atau jahat yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :