Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai penjaja ketika Majlis Pelancaran Platform Selangor (PLATS) 2.0 Selangor e-Dapur dan e-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Batu Caves pada 11 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PLATS diperluas, bantu PKS mikro jana ekonomi

SHAH ALAM, 9 JUN: Platform Selangor (PLATS) diperluaskan kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) mikro khususnya penjaja dan peruncit bagi menggerakkan ekonomi golongan itu.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka digalakkan merebut peluang yang ada dan segera mendaftar menerusi pautan www.platsselangor.com .

“Menerusi PLATS, PKS mikro dapat mempelajari asas berkaitan pendigitalan, menerima bantuan pembiayaan serta latihan keusahawanan.

“Sejak dilancarkan, lebih 2,000 PKS mikro telah menyertai skim percuma ini. Rakan strategik, Grab Express akan membantu melancarkan proses penghantaran produk dijual peserta program,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

PLATS diperkenal Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Terdahulu, Amirudin membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.


Pengarang :