Pengetua Tadika Big Apple Cawangan Kinta Riverfront, Rohani Hasshim (tengah) melakukan aktiviti pembelajaran bersama kanak-kanak di Tadika Big Apple pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 10,000 guru tadika terima bantuan khas RM150

SHAH ALAM, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan dengan peruntukan RM1.99 juta bagi meringankan beban golongan itu yang mengalami kesukaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada hampir 1,018 pengusaha tadika dan 10,197 guru-guru tadika di seluruh negeri dengan peruntukan RM500,000,” katanya.

Terdahulu, beliau membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bersetuju memberi penangguhan pembayaran sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Smart Sewa untuk bulan Julai.

“Seramai 2,632 individu yang menyewa di rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa akan menerima manfaat penangguhan bayaran sewa Julai dengan impak kewangan berjumlah RM900,000,” jelasnya.


Pengarang :