Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor pada 5 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti di 44 DUN kumpul hampir 90,000 sampel kit RTK-Ag

KUALA SELANGOR, 5 JUN: Sebanyak 89,716 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil menerusi Saringan Komuniti di 44 Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata daripada jumlah itu, 86,513 atau 96.43 peratus sampel didapati negatif Covid-19 manakala 3,203 atau 3.57 peratus diuji positif.

“Sampel paling banyak adalah daripada individu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun. Golongan ini sedar keperluan membuat saringan kerana sentiasa bergerak aktif hingga terdedah jangkitan.

“Susulan itu, kita mengesan kes berkemungkinan positif membabitkan mereka dengan majoritinya tidak mengalami sebarang simptom,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau ditemui pada Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang di sini hari ini yang menyasarkan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.

Program dari 9 pagi hingga 4 petang dijalankan serentak di Dewan Dato’ Hormat, Tanjong Karang yang memanfaatkan masyarakat di DUN Sungai Burong.

Sementara itu, Mohd Noor berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menyaring lebih ramai individu mengambil kira bekalan kit RTK-Ag mencukupi dan kekuatan petugas kesihatan.

“Buktinya, kita sudah berjaya saring lebih 50,000 orang iaitu melebihi sasaran awal,” katanya lagi.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 44 DUN sehingga semalam.

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my


Pengarang :