Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna MBSA U5, Shah Alam pada 27 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saringan percuma fasa tiga kesan kilang rekod kes wabak tinggi

SHAH ALAM, 17 JUN: Saringan percuma fasa tiga akan menggunakan sistem pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) bagi mengesan lebih banyak kes Covid-19 dalam kalangan pekerja industri.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata sistem itu dapat mengenal pasti kilang yang mempunyai kadar perebakan tinggi sekali gus mengekang penularan kepada masyarakat.

“Saringan Komuniti kali ini akan lebih tertumpu kepada sektor industri selain kawasan yang mencatatkan kes positif tinggi.

“Saya menyeru warga Selangor mengambil peluang ini untuk memastikan diri sendiri dan ahli keluarga terlindung daripada jangkitan wabak,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Facebook semalam.

Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri diteruskan mulai Sabtu ini ke kawasan mencatat lebih lima peratus jangkitan pada fasa kedua yang berjalan sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Lokasi pertama dilaksanakan di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan menyasarkan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan.

Program sama turut dijalankan untuk DUN Sungai Tua, Gombak Setia, Taman Templer, Kajang, Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa.

Individu disyaki positif pada fasa ini akan dibekalkan kit penilaian di rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.


Pengarang :