Jururawat menyuntik vaksin jenis Sinovac kepada orang awam di pusat pemberian vaksin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam yang mula beroperasi pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor bincang dengan CITF tentukan agihan, jenis vaksin

SHAH ALAM, 9 JUN: Selangor akan berbincang dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berhubung pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata perbincangan yang turut membabitkan kerajaan persekutuan termasuk penentuan golongan sasar dan jenis pelalian yang akan digunakan.

“Jenis vaksin yang diberi kepada rakyat adalah salah satu daripada tiga jenis yang diguna dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekarang.

“Perincian mengenai jenis vaksin akan dimaklum selepas perbincangan dengan CITF dan kerajaan pusat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media secara maya selepas membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Beliau menambah keputusan membeli vaksin yang bakal diterima akhir Jun sebagai pelengkap kepada PICK untuk membantu mempercepat proses suntikan.

“Kita jangka paling awal penduduk akan disuntik pada awal Julai. Proses suntikan akan dilakukan kira-kira 1,000 petugas Selgate yang bertauliah,” kata Amirudin.

Kerajaan Negeri melancarkan program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor untuk mempercepat imuniti kelompok rakyat dengan implikasi kewangan RM200 juta.

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta menyasar 250,000 penduduk.


Pengarang :