Orang ramai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor tubuh unit bergerak, bantu pesakit kronik terima vaksin

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan Negeri akan menubuhkan unit bergerak untuk memberikan vaksin kepada pesakit kronik terlantar di rumah pada Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP).

EXCO kesihatan awam berkata inisiatif berkenaan dapat meningkatkan jumlah penerima suntikan vaksin Covid-19 dan mewujudkan imuniti berkelompok.

“Saya difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) pun ada pasukan seperti ini tetapi jumlah tidak banyak dan mereka turut berdepan dengan beban kerja tinggi,” kata Dr Siti Mariah Mahmud hari ini.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara bersama Media Selangor bertajuk ‘Langkah Terbaik Percepat Proses Imunisasi di Selangor’ yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Menurut Dr Siti Mariah, golongan B40 belum divaksin antara kumpulan sasaran Kerajaan Negeri di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) yang akan dipilih daripada senarai Skim Peduli Sihat, Skim Mesra Usia Emas dan Kasih Ibu Smart Selangor.

“Selain itu, petugas barisan hadapan Kerajaan Negeri seperti ketua kampung dan petugas pusat khidmat masyarakat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan pelaksanaan SCVP dan vaksin akan diagih secara berperingkat mulai akhir bulan ini.


Pengarang :