Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor umum bantuan khas minggu depan, jamin tiada golongan tercicir

SHAH ALAM, 2 JUN: Selangor akan mengumumkan bantuan khas pada minggu depan bagi membantu penduduk negeri ini yang terjejas susulan penutupan sektor ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak meminggirkan mana-mana golongan.

“Kita sedang merangka dan meneliti bentuk bantuan kepada rakyat, beberapa perbincangan perlu dilakukan sebelum pengumuman dibuat,” katanya selepas melancarkan Program Agro Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh dua minggu mulai 1 Jun.

Keputusan itu mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19, angka korban yang semakin meningkat selain kewujudan varian baharu yang lebih ganas.

Ketika awal PKP pada Mac tahun lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19 berjumlah RM127.78 juta yang memanfaatkan petugas hadapan, mahasiswa dan penjaja.

Wakil rakyat negeri ini turut menerima peruntukan sebanyak RM30,000 bagi membantu penduduk yang terkesan berikutan penularan wabak Covid-19.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri sekali lagi mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa Kedua bernilai RM272 juta untuk menangani dampak wabak.

Bantuan seterusnya diumumkan pada 20 Januari tahun ini bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0 dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta.

Pakej itu antara lain turut menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.


Pengarang :